Rombongan Kementerian Pembangunan meneruskan lagi Majlis Dikir Maulud Nabi Muhammad Shallalahu ‘Alaihi Wasallam diteruskan lagi untuk malam kelapan di Istana Nurul Iman.
Hadir selaku ketua rombongan Kementerian Pembangunan ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.
Turut hadir mengiringi Menteri Pembangunan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) Kementerian Pembangunan, Awang Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar; serta 60 pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan lelaki Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya bagi memeriahkan sambutan Maulidur Rasul di Surau Lelaki, Istana Nurul Iman.
Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardhu Isya’ berjemaah, bacaan Surah Al-Fatihah dan Sayyidul Istighfar oleh Haji Mohd Sani bin Haji Abd Karim dan diikuti dengan tazkirah bertajuk “Menghayati Sunnah Rasulullah” oleh Awang Muhammad Salihan bin Samra.
Majlis diserikan lagi dengan persembahan Dikir Syarafil ‘Anam dan diakhiri dengan bacaan Doa Dikir serta Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Majlis seumpamanya juga diadakan di Surau Perempuan, Istana Nurul Iman yang dihadiri oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak; Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Kementerian Pembangunan, Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Dayang Aldila binti Haji Mohamed Salleh, serta 60 rombongan pendikir perempuan yang terdiri dari pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya.