Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan telah secara rasmi menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat Jawatankuasa Pandu Kali Ke-86 bagi Coordinating Committee for Geoscience Programmes in East and Southeast Asia (CCOP) yang berlangsung dari 6 hingga 9 April 2026 di The Empire Brunei.

Mesyuarat tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Awang Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar. Penganjuran ini merupakan satu pencapaian penting, kerana ini adalah kali pertama Negara Brunei Darussalam menjadi tuan rumah Mesyuarat Jawatankuasa Pandu sejak menyertai CCOP secara rasmi pada tahun 2020.

Dalam ucapan alu-aluannya, Awang Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar menegaskan bahawa penganjuran mesyuarat ini mencerminkan komitmen Negara Brunei Darussalam yang semakin kukuh terhadap kerjasama geosains serantau. Beliau turut menyatakan bahawa peluang ini melambangkan kesediaan Negara Brunei Darussalam untuk memainkan peranan yang lebih aktif serta memperketatkan kerjasama dengan negara-negara ahli dalam mencapai matlamat bersama.

Dalam sesi pembukaan tersebut, Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Ir. Awang Norazmi bin Othman selaku Perwakilan Tetap Brunei Darussalam ke CCOP, turut menekankan kepentingan dan impak kerjasama ini. Beliau menyatakan bahawa kerjasama serantau kini lebih penting berbanding sebelumnya, memandangkan rantau ini berdepan dengan cabaran kompleks merangkumi bahaya geologi seperti tanah runtuh dan banjir, serta keperluan pengurusan mampan sumber air tanah dan mineral strategik.

Beliau seterusnya mengongsikan contoh inisiatif CCOP, termasuk bengkel di bawah ASEAN-Korea Cooperation Fund (AKCF) serta latihan khusus dalam pengurusan data geosains, yang telah menyumbang kepada pengukuhan keupayaan nasional, khususnya dalam penilaian tanah runtuh dan penerokaan mineral.

Sejak menyertai CCOP enam tahun yang lalu, Negara Brunei Darussalam kekal komited kepada prinsip bahawa kekuatan CCOP terletak pada hubungan erat, kepercayaan, serta matlamat bersama yang dikongsi dalam kalangan rakan kerjasama serantau.