Majlis Penyampaian Hadiah bagi Program YouLEARn (“Youth Learn, Empower and Advocate for a Resilient Environment”) Belia BRUNAS 2025 telah diadakan pada hari Khamis, 28 Ogos 2025 di Dewan Indera Pahlawan, Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), Kementerian Pembangunan.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah dan sijil-sijil penghargaan majlis ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Kementerian Pembangunan, Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat oleh Dr. Awang Haji Muhd Majdi bin Pehin Dato Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Abdul Aziz.
Majlis diikuti dengan ucapan alu-aluan Pengarah Alam Sekitar, Taman dan Rekrasi yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Pengiran Hajah Haryanti binti Pengiran Haji Petra selaku Pengerusi Majlis.
Dalam ucapan alu-aluannya, Pemangku Pengarah Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi mengongsikan Program YouLEARn merupakan Fasa 1 Program Belia BRUNAS yang berbentuk kursus bengkel latihan yang telah berlangsung selama lima hari bermula dari 21 hingga 25 Julai 2025, dan seramai tiga puluh peserta belia daripada tujuh buah pasukan telah menyertai program tersebut, yang terdiri daripada penuntut-penuntut institusi pengajian tinggi, belia-belia daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan usahawan-usahawan muda.
Tambah beliau, para peserta program pada tahun ini telah didedahkan kepada isu-isu pencemaran plastik bukan sahaja di Negara Brunei Darussalam, tetapi juga di peringkat serantau dan antarabangsa, termasuk cabaran-cabaran dan peluang-peluang serta inisiatif-inisiatif dalam menangani isu-isu pencemaran plastik. Tambahan itu, para peserta berpeluang untuk melawat sambil belajar ke Syarikat Wan Sing Trading Company, iaitu pembuat dan pengedar bungkusan plastik tempatan, Syarikat Kawan Bumi Sdn Bhd, iaitu sebuah syarikat kitar semula botol-botol plastik terpakai dan Tapak Pelupusan Sungai Paku. Melalui kaedah ini, para peserta lebih memahami bukan sahaja isu pencemaran plastik on the ground, tetapi juga kesan sosio-ekonomi jika sebarang dasar atau program menangani isu plastik diperkenalkan.
Majlis diteruskan dengan penyampaian sijil kepada semua peserta program diikuti dengan penyampaian hadiah kepada Kumpulan Verdant Collective selaku pemenang Best YouLEARn Team iaitu satu anugerah khas yang diberikan kepada pasukan yang telah memberikan prestasi yang terbaik dan proaktif sepanjang lima hari Program YouLEARn dijalankan. Pemenang menerima trofi, wang tunai berjumlah $100.00 dan sijil pencapaian.
Tetamu Kehormat Majlis seterusnya menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang Best Project Team dan pasukan YouGAIN Catalyst, seperti berikut:
- Tempat Pertama: Kumpulan Kytar menerima Trofi, wang tunai berjumlah $500.00 dan sijil pencapaian.
- Tempat Kedua: Vil-Laju! menerima Trofi, wang tunai berjumlah $300.00 dan sijil pencapaian.
- Tempat Ketiga: Verdant Collective menerima Trofi, wang tunai berjumlah $200.00 dan sijil pencapaian.
- Pemenang YouGAIN Catalyst (KYTAR) menerima Grant berjumlah $3,000.00 dan sijil pencapaian.
Grant berjumlah $3,000.00 yang diberikan kepada pemenang-pemenang Anugerah Pasukan YouGAIN Catalyst akan digunakan untuk melaksanakan uji cuba atau pilot test cadangan projek mereka semasa Fasa 2: Program YouGAIN (“Youth Green Actions for Innovation”) dalam tempoh sembilan bulan.
Program Belia BRUNAS (“Belia Brunei Nadi Alam Sekitar”) merupakan satu platform yang disediakan oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan yang memberi peluang kepada belia-belia di Negara Brunei Darussalam untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti alam sekitar yang memberi impak yang lebih bermakna dan berpanjangan, dan menyumbang kepada kelestarian alam sekitar negara.