gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Majlis Perasmian Pertandingan dan Pertunjukan Bunga-Bunga Hidup sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-79 bagi Tahun 2025, Peringkat Daerah Brunei dan Muara, telah diadakan di Taman Rekreasi Menteri Besar, Berakas, hari ini.

Majlis ini merupakan anjuran bersama Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) dan Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) dengan sokongan Jawatankuasa Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bagi Daerah Brunei dan Muara.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

Mengalu-alukan kehadiran Tetamu Kehormat Majlis ialah Pengarah Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Dayang Hajah Martinah binti Haji Tamit selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pertandingan dan Pertunjukan Bunga-Bunga Hidup, dan Dayang Hajah Arbaeyah binti OKSW Haji Abdullah, Timbalan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pertandingan dan Pertunjukan Bunga-Bunga Hidup.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Yang Mulia Dr. Haji Muhammad Majdi bin Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Abdul Aziz, dan diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pertandingan dan Pertunjukan Bunga-Bunga Hidup.

Dalam ucapannya, beliau mengongsikan bahawa acara ini bukan sahaja menjadi wadah untuk menyerlahkan kreativiti peserta, malah turut berperanan sebagai platform bagi meningkatkan kesedaran dan penghargaan masyarakat terhadap penjagaan serta pemeliharaan alam sekitar. Tambah beliau, dengan bertemakan “Keindahan dan Kebersihan Alam Sekitar Asas Kesejahteraan Negara”, penganjuran acara ini diharap dapat memupuk minat masyarakat terhadap seni tanaman hiasan dan landskap sertameningkatkan kesedaran terhadap kepentingan menghargai dan memelihara keindahan alam sekitar.

Majlis juga diselitkan dengan Peraduan Seni Gubahan Bunga, di mana seramai 10 orang peserta daripada jemputan yang hadir telah menunjukkan kreativiti dan kepakaran melalui gubahan bunga secara spontan.

Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah-hadiah Pertandingan dan Pertunjukan Bunga-Bunga Hidup serta Seni Gubahan Bunga oleh Tetamu Kehormat Majlis. Acara ini telah mempertandingkan sebanyak 13 kategori tanaman dan seramai 34 orang peserta telah mengambil bahagian dengan sebanyak 215 pohon bunga yang dipertandingkan. Pemenang-pemenang bagi setiap kategori menerima hadiah wang tunai dan sijil penghargaan seperti berikut:

  • Tempat Pertama: $100.00
  • Tempat Kedua: $80.00
  • Tempat Ketiga: $50.00
  • Saguhati: $20.00

Bagi kategori Seni Gubahan Bunga, tiga orang pemenang turut menerima hadiah wang tunai masing-masing sebanyak $30.00, $20.00 dan $10.00.

Sijil penghargaan turut disampaikan kepada panel-panel hakim serta agensi dan pempamer yang mengambil bahagian dalam pameran rekaan landskap.

Selain itu, Anugerah “Best of the Best” turut disampaikan kepada pemenang keseluruhan iaitu Awang Haji Hamdan bin Haji Othman yang menghantar Bunga Athurium Lookeri Variegated dalam Kategori Tanaman Dalaman Daun Berbagai Warna. Beliau menerima tiket penerbangan ulang alik ke Kota Kinabalu yang ditaja oleh Syarikat Penerbangan Diraja Brunei.

Majlis diakhiri dengan lawatan Tetamu Kehormat ke tapak pameran bunga-bungaan dan tanaman hiasan yang turut dibukakan kepada orang ramai sepanjang tempoh penganjuran.

Majlis ini turut disokong oleh Jabatan Perhutanan, Jabatan Pertanian dan Agri-Makanan, D’Sunlit Sdn Bhd, KN Nursery (B) Sdn Bhd, MS Abdur Rahman Sdn Bhd, Lasar View Sdn Bhd, Kilang Maskayu Sdn Bhd dan Md Raffie Construction.

Turut hadir ke majlis perasmian tersebut ialah Ahli-Ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Negara; Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan; Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap; Kementerian Pembangunan; ketua-ketua jabatan, divisyen, unit serta pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Acara Pertunjukan Bunga-Bunga Hidup dibukakan kepada orang ramai dari hari Sabtu, 11 Oktober 2025 hingga hari Ahad, 19 Oktober 2025 dari jam 8:00 pagi hingga 8:00 malam di Taman Rekreasi Menteri Besar.