gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Pertukaran Lawatan Tahunan Brunei Darussalam-Singapura ke-18 (BSAEV ke-18), di bawah rangka Memorandum Persefahaman (MoU) Dua Hala mengenai Hal Ehwal Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang diperbaharui pada tahun 2022, telah diadakan di Negara Brunei Darussalam pada 11 Februari 2026.

Delegasi Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, dan terdiri dari Setiausaha Tetap, Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, serta pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi dan Jabatan Kerja Raya, Kementerian Pembangunan, Pejabat Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam (BCCO), Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kesihatan, Negara Brunei Darussalam dan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD).

Menteri Kelestarian dan Alam Sekitar, Puan Yang Terutama Grace Fu, telah mengetuai delegasi Singapura yang terdiri daripada Setiausaha Tetap, Mr. Melvyn Ong, dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Kelestarian dan Alam Sekitar, Agensi Alam Sekitar Kebangsaan dan PUB (Agensi Air Kebangsaan Singapura).

Semasa mesyuarat tersebut, Menteri-Menteri menegaskan semula hubungan dua hala yang kukuh di antara Negara Brunei Darussalam dan Singapura serta mengesahkan komitmen untuk memupuk perkembangan yang berterusan dan mengukuhkan kerjasama dalam perlindungan alam sekitar dan perubahan iklim.

Menteri-Menteri mengambil maklum mengenai perkembangan projek-projek dan program-program yang telah dilaksanakan oleh kedua-dua buah negara dalam bidang pengurusan sisa pepejal, pengurusan kualiti udara, pengurusan sumber air, program belia alam sekitar, dan perubahan iklim. Negara Brunei Darussalam menekankan usaha-usaha terbarunya dalam pengurusan sisa pepejal, termasuk Inisiatif Eco-Food Waste, perkembangan terkini mengenai pembangunan Tenaga daripada Sisa (Waste-to-Energy, WtE), dan penguatkuasaan yang dipertingkatkan di bawah Operasi Langis, manakala Singapura berkongsi pendekatannya mengenai import bahan kitar semula sebagai bahan mentah. Menteri-Menteri juga mengambil maklum mengenai kemajuan dalam pengurusan kualiti udara, termasuk maklumat dari Negara Brunei Darussalam mengenai rangkaian pemantauan udara ambien, penggunaan sensor kualiti udara kos rendah, dan penyertaan dalam Projek CASA. Kedua-dua buah negara membincangkan kepentingan ekonomi kitaran (circular economy) dan mengalu-alukan peluang lanjut untuk meneroka kerjasama serantau dalam bidang ini.

Menteri-Menteri mengambil maklum mengenai perkembangan kerjasama pengurusan sumber air, termasuk kolaborasi beterusan Negara Brunei Darussalam dan Singapura sejak tahun 2024 dan perbincangan dalam talian di antara kedua-dua buah negara baru-baru ini. Singapura mengongsikan usaha terkininya dalam pengurusan sumber air, termasuk pembesaran Loji Reklamasi Air Changi (Changi Water Reclamation Plant (WRP) dan kerja-kerja pembinaan yang sedang dijalankan bagi Sistem Terowong Kumbahan Dalam Fasa 2 (Deep Tunnel Sewerage System (DTSS Phase 2)). Menteri-Menteri turut mengambil maklum usaha Negara Brunei Darussalam perihal program dan aktiviti belia alam sekitar sejak tahun 2024, termasuk inisiatif-inisiatif kesedaran alam sekitar yang diterajui oleh Kementerian Kesihatan dan program-program alam sekitar berfokuskan belia di bawah Kementerian Pendidikan.

Menteri-Menteri mengambil maklum mengenai perkembangan terkini berkaitan perubahan iklim, termasuk dasar-dasar perubahan iklim Negara Brunei Darussalam, kemajuan dalam penubuhan Pusat Perubahan Iklim ASEAN, perbincangan berterusan mengenai perjanjian penubuhannya, serta inisiatif-inisiatif adaptasi Negara Brunei Darussalam seperti kawalan vector, mengenai kesan pulau haba bandar (urban heat island), serta usaha dalam pertimbangan dan pemilihan teknologi. Singapura turut mengongsikan usaha GreenGov.SG, dimana sektor awam berusaha untuk mencapai sasaran kelestarian yang tinggi dalam pengurangan karbon dan kecekapan sumber, serta menjadi pengaruh positif dan pemangkin kepada usaha hijau.

Menteri-Menteri mengesahkan semula komitmen untuk bekerjasama dengan Negara-Negara Anggota ASEAN yang lain bagi memperkukuh kerjasama dalam perlindungan alam sekitar, termasuk melalui inisiatif seperti penganjuran Mesyuarat Ke-26 Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan dan Mesyuarat Ke-26 Jawatankuasa Pandu Peringkat Meteri-Menteri (MSC) Sub-Serantau Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan oleh Negara Brunei Darussalm pada bulan Julai 2025. Menteri-Menteri turut mengambil maklum mengenai kolaborasi berterusan dalam pengurusan tumpahan minyak.

Menteri-Menteri mengesahkan komitmen untuk meningkatkan kerjasama dan memupuk persahabatan dan perkongsian yang lebih erat di antara Negara Brunei Darussalam dan Singapura.

Singapura akan menjadi tuan rumah BSAEV ke-19.