Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan telah mengadakan Sesi Pemberigaan mengenai Program Perkhidmatan Kutipan Sampah Rumah ke Rumah bersama penduduk Perumahan Negara Kampong Rimba yang berlangsung di Dewan Serbaguna Sekolah Menengah Rimba II. Turut hadir ialah wakil-wakil Ketua Kampong, Majlis Perundingan Kampong serta syarikat-syarikat perkhidmatan kutipan sampah.
Sesi pemberigaan tersebut telah dirasmikan oleh Pengarah Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan, Dayang Hajah Martinah binti Haji Tamit, diikuti dengan penerangan mengenai program serta sesi soal jawab bagi memberi peluang kepada masyarakat untuk mengemukakan pandangan dan maklum balas.
Program ini memperkenalkan kaedah yang lebih menyeluruh dan berstruktur dalam perkhidmatan kutipan sampah di kawasan Perumahan Negara Kampong Rimba melalui pakej langganan yang komprehensif, yang mana menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap serta memupuk amalan kitar semula dalam kalangan penduduk. Perkhidmatan kutipan sampah di bawah program ini akan dilaksanakan oleh syarikat-syarikat kutipan sampah yang berlesen serta dipilih dan didaftarkan di bawah Jabatan.

Melalui pelaksanaan program ini, pihak Jabatan menyeru kepada penduduk untuk memainkan peranan secara aktif dalam menyokong sistem pengurusan sisa yang lebih teratur. Kerjasama dan sokongan padu daripada komuniti adalah penting bagi memastikan kelestarian jangka panjang inisiatif ini serta memperkukuhkan tanggungjawab bersama dalam memelihara kebersihan alam sekitar negara.
Orang ramai bolehlah menghubungi Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi untuk mendapatkan maklumat lanjut di talian 2241262, emel jastre.brunei@env.gov.bn, melayari laman sesawang www.env.gov.bn atau mengikuti Instagram rasmi @jastre.bn.