PERINTAH PERANCANGAN BANDAR DAN DESA
Perintah Perancangan Bandar dan Desa 2015 (Town and Country Planning Order, TCPO 2015) adalah suatu akta bagi mengawal selia perancangan bandar dan desa di Negara Brunei Darussalam. Ianya menyediakan kerangka undang-undang untuk mentadbir, mengawal serta menguatkuasakan tugas-tugas perancangan bandar dan desa.
Perintah ini adalah hasil kajian semula Akta Perancangan Bandar dan Desa 1972 (Penggal 143), di mana beberapa bahagian dan bab yang terkandung di dalam Perintah baru ini antara lain bertujuan untuk memantapkan lagi dua fungsi utama jabatan, iaitu perancangan bandar dan desa khusus di dalam penyediaan pelan-pelan pembangunan (development plans) dan juga kawalan kemajuan serta penguatkuasaan.
Perintah ini telah mula dikuatkuasakan pada 01hb Januari 2017 dan mengandungi 06 Bahagian dan 64 Bab keseluruhannya.
Kandungan Perintah :
Bahagian I : Permulaan
Bahagian II : Pentadbiran
Bahagian III : Pelan Pembangunan
Bahagian IV : Perancangan, Pemecahan,Penyatuan dan Pemuliharaan Tanah
Bahagian V : Penguatkuasaan
Bahagian VI : Mendapatkan balik wang
Jadual
Bahagian I : Permulaan
Bahagian ini mengandungi tafsiran bagi memastikan penggunaan istilah undang-undang berkenaan yang betul. Sebagai misal, istilah bangunan, tanah dan pemilik. Di samping itu juga, bahagian ini memberikan tafsiran atau makna kepada perkataan "pemajuan" , "pemecahan dan penyatuan", "kawasan pemuliharaan" dan sebagainya.
Bahagian II : Pentadbiran
Bahagian II memberikan mandat kepada orang atau orang-orang yang difikirkan layak sebagai Autoriti Perancang untuk melaksanakan perintah ini. Di samping itu, bahagian ini juga memberi kuasa kepada menteri untuk melantik komiti-komiti untuk membantu Autoriti Perancang menjalankan tugas – tugas di dalam perintah ini.
Bahagian III : Pelan Pembangunan
Bahagian ini memperuntukan bahawa Autoriti Perancang dipertanggungjawabkan untuk menetapkan satu-satu kawasan sebagai kawasan perancangan bagi maksud Perintah ini. Seterusnya bahagian ini memberikan definisi pelan-pelan pembangunan yang akan disediakan serta menghuraikan tatacara penyediaan pelan-pelan pembangunan.
Di samping ini juga, bahagian ini membolehkan penyertaan awam dilaksanakan dalam proses penyediaan pelan-pelan pembangunan.
Bahagian IV : Perancangan, Pemecahan, Penyatuan dan Pemuliharaan Tanah
Bahagian IV memperuntukan bahawa permohonan kebenaran perancangan, permohonan pemecahan dan/atau penyatuan dan permohonan kebenaran pemuliharaan untuk dihadapkan kepada Autoriti Perancang. Seterusnya Autoriti Perancang boleh memberikan kebenaran bertulis atau kebenaran tertakluk kepada syarat-syarat. Jika permohonan bagi kebenaran bertulis ditolak atau diberikan tertakluk kepada syarat, dan pemohon tidak berpuashati mengenainya maka Seksyen 31 membolehkan pemohon untuk membuat rayuan.
Bahagian V : Penguatkuasaan
Bahagian ini memberikan kuasa kepada Autoriti Perancang untuk menjalankan tindakan penguatkuasaan bila mana didapati adanya perlanggaran peraturan kawalan kemajuan berkaitan dengan mana-mana tanah. Seksyen 36 memperuntukan cara-cara mengeluarkan notis penguatkuasaan dan Seksyen 37 memberikan ruang kepada orang ramai untuk mengemukakan rayuan kepada Menteri terhadap notis penguatuasaan yang diberikan.
Bahagian VI : Mendapatkan balik wang
Bahagian ini memberikan kuasa kepada Autoriti Perancang untuk mendapatkan wang balik bagi mana-mana wang yang dikena kan untuk dibayar di bawah Perintah ini. Bahagian ini juga memberikan kuasa kepada Autoriti Perancang untuk mengkompaun sebarang kesalahan di bawah Perintah ini dan memungut satu jumlah wang tidak melebihi $500.
Jadual
Jadual ini memberikan takrif mengenai kawasan kawalan kemajuan yang meliputi kawasan-kawasan di dalam Negara Brunei Darussalam, kecuali mana-mana kawasan yang diisyitiharkan sebagai suatu kawasan Lembaga Bandaran.
Keterangan lanjut Perintah boleh didapati di laman web Jabatan Peguam Negara.