Majlis sambutan sempena memperingati Nuzul Al-Quran bagi tahun 1447 Hijrah telah diadakan di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Dan Pembinaan, Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohammad Yaakub; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh; Timbalan Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Awang Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar; serta Ketua-Ketua Jabatan, pegawai-pegawai dan kakitangan-kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan dibawahnya.

Majlis dimulakan dengan mendengarkan bacaan ayat suci Al-Quran, surah Al-Hasyr ayat 18 hingga 24 oleh Awang Abdul Halim bin Haji Jainih @ Haji Zaini daripada Pejabat Tanah Daerah Temburong dan diikuti dengan bacaan terjemahannya yang dibacakan oleh Awang Khairulakmal Hafizi bin Moharor, daripada Pejabat Tanah Daerah Brunei dan Muara.

Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian sumbangan derma kepada anak-anak yatim seramai 87 orang yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Pembangunan.

Majlis yang dikendalikan oleh Jabatan Tanah itu diadakan bertujuan untuk menyemarakkan lagi sambutan memperingati Nuzul Al-Quran bagi Kementerian Pembangunan. Disamping itu, Majlis juga diharap akan menyemai semangat keprihatinan dan kasih sayang dalam kalangan masyarakat khususnya kepada anak-anak yatim di Negara Brunei Darussalam.

Melalui bacaan ayat-ayat suci Al-Quran serta penyampaian derma kepada anak-anak yatim, acara ini diharap dapat memperkukuh nilai ukhuwah, meningkatkan ketakwaan, serta mengingatkan kita semua tentang tanggungjawab untuk terus beramal dan berbakti sesama insan terutama di bulan suci Ramadan.