Kementerian Pembangunan telah mengadakan Taklimat Melayu Islam Beraja (MIB) bertajuk “MIB dalam Tugas Seharian Penjawat Awam” bagi pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan serta jabatan-jabatan di bawahnya.

Taklimat telah disampaikan oleh Yang Mulia Awang Haji Mohd Khairul Azhar bin Haji Idris dari Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja dan disertai oleh seramai 70 orang kakitangan dalam Bahagian IV dan V.

Taklimat tersebut antara lain bertujuan untuk menanam, menyubur dan mengukuhkan nilai-nilai Melayu Islam Beraja dalam kalangan warga perkhidmatan awam, di samping membentuk peribadi dan sahsiah individu ke arah mencintai agama, bangsa dan negara.

Selain itu, taklimat berkenaan turut menekankan kepentingan mengekalkan, menerapkan dan mengamalkan sikap positif ke arah kemajuan diri, keluarga, masyarakat, negara dan sejagat. Ia juga bertujuan untuk menyuburkan perkembangan jasmani, rohani, emosi dan intelek ke arah pembentukan sifat-sifat yang membina serta mengawal sifat-sifat yang boleh membawa kepada kemudaratan. 

Melalui penghayatan dan pengamalan nilai-nilai MIB dalam pelaksanaan tugas seharian, taklimat tersebut diharap dapat menyumbang ke arah melahirkan warga perkhidmatan awam yang beriman dan bertakwa, berketerampilan, berdaya tahan serta berdaya saing dalam pelbagai bidang kehidupan, demi mencapai kesempurnaan hidup di dunia dan di akhirat.