Kementerian Pembangunan melalui Jabatan Kerja Raya telah mengadakan Majlis Doa Selamat bagi Bakal-Bakal Jemaah Haji bertempat di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan pada hari Selasa, 28 April 2026.

Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

Majlis diserikan dengan ceramah khas bertajuk “Meraih Redha Ilahi” yang disampaikan oleh Penolong Kaunselor, Jabatan Penjara, Ustaz Fariszal bin Ali.

Seramai 25 orang yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan akan menunaikan ibadah haji pada tahun ini. Yang Berhormat Menteri Pembangunan juga telah menyempurnakan penyampaian sumbangan daripada pegawai dan kakitangan Kementerian kepada bakal-bakal jemaah haji.

Majlis diakhiri dengan Bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh Ustaz Fariszal bin Ali untuk memohon keberkatan Allah Subhanahu wa Ta’ala agar kesemua bakal jemaah haji mendapat rahmat, perlindungan, keselamatan dan kesejahteraan semasa berada di tanah suci dan memperoleh haji yang mabrur.

Majlis keagamaan yang dikendalikan oleh Jabatan Perkhidmatan Mekanikal dan Elektrikal, Jabatan Kerja Raya tersebut merupakan aktiviti tahunan Kementerian Pembangunan dalam meraikan para pegawai dan kakitangan yang akan mengerjakan ibadah haji pada tahun ini, di samping mengeratkan hubungan silaturahim di antara para pegawai dan kakitangan kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Turut hadir di majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abd Razak; Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Kementerian Pembangunan, Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub;  Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Kementerian Pembangunan, Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh; Timbalan Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Awang Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar; Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya; Ketua-Ketua Jabatan, pegawai-pegawai kanan, para pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan dibawahnya.