Kementerian Pembangunan telah meraih tempat kedua di Kejohanan BN on the Move 2025 (BNOTM) untuk kategori Pasukan Paling Aktif (tiga pasukan teratas dengan purata langkah tertinggi) bagi sektor Kerajaan anjuran Kementerian Kesihatan.
Perkara tersebut diumumkan semasa Majlis Penutup Kejohanan BN on the Move 2025 yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, bagi menandakan berakhirnya kempen seluruh negara yang telah berlangsung selama lima bulan bermula 28 September 2025 hingga 15 Februari 2026.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah serta sijil kepada para pemenang ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Kejohanan BN on the Move merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Kesihatan dalam memperkukuh penjagaan kesihatan secara pencegahan dan menangani penyakit-penyakit tidak berjangkit (NCD) melalui penggalakan aktiviti fizikal secara berkala dalam kalangan masyarakat.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada warga Kementerian Pembangunan. Semoga warga kementerian akan terus kekal aktif dalam menjalani aktiviti fizikal demi menjaga kesihatan serta terus melakar kejayaan dalam mana-mana kejohanan pada masa akan datang.
Foto: Kementerian Kesihatan.