Kementerian Pembangunan hari ini mengadakan Majlis Penyempurnaan Pengurniaan Pingat-Pingat Kehormatan Negara Brunei Darussalam, Pingat Kerja Lama (P.K.L) Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79 Bagi Pegawai-Pegawai dan Kakitangan Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya.

Majlis diadakan di Dewan Munawwarah, Setia Point, Berakas.

Penyampaian pingat-pingat kehormatan tersebut kepada 101 orang penerima disempurnakan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, selaku tetamu kehormat majlis.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pengiran Muhammad Faizal Akhbar bin Pengiran Salleh.

Pengurniaan pingat ini merupakan tanda penghargaan dan pengiktirafan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada pegawai dan kakitangan yang telah berbakti serta berkhidmat lebih daripada 20 tahun dalam perkhidmatan awam.

 

Pengurniaan berkenaan juga mencerminkan penghormatan terhadap jasa, dedikasi dan komitmen para penerima dalam menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara.

Sejurus selepas penyampaian pingat-pingat berkenaan, majlis turut diselajurkan dengan Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Bagi Pegawai-Pegawai dan Kakitangan Kementerian Pembangunan dan Jabatan-Jabatan di bawahnya Yang Bersara Pada Tahun 2023 dan 2024.

Semasa majlis berkenaan, Yang Berhormat Menteri Pembangunan turut menyampaikan sijil penghargaan dan cenderahati kepada para pesara yang hadir.

Seramai 174 orang pegawai dan kakitangan telah bersara pada tahun 2023, manakala 181 orang lagi bersara pada tahun 2024.

Terdahulu, Timbalan Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Awang Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar telah membacakan teks ucapan penghargaan daripada Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, Dayang Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, khusus kepada para pesara. Dalam ucapan tersebut, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih atas curahan bakti serta sumbangan para pesara sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

 

Majlis ini diadakan sebagai tanda penghormatan dan penghargaan kepada pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya yang telah menabur bakti dengan memberikan masa, tenaga dan khidmat selama bertugas dalam perkhidmatan awam.

Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

Turut hadir ialah Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, ketua-ketua jabatan, autoriti, divisyen dan unit di Kementerian Pembangunan, serta pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.