Kementerian Pembangunan tidak ketinggalan dalam sama-sama menyemarakkan sambutan Hari Raya Aidiladha bagi tahun 1447H / 2026M dengan menganjurkan Majlis Ibadah Korban. Dikendalikan olah Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, majlis tersebut telah diadakan di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

Majlis didahului dengan bacaan surah Al-Fatihah, diikuti dengan ceramah khas bertajuk “Penghayatan Ibadah Korban” yang disampaikan oleh Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Jabatan Ugama Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Ustaz Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin.

Acara kemudiannya diteruskan dengan pengagihan daging-daging korban yang disempurnakan oleh tetamu kehormat kepada 60 orang penerima yang berkelayakan, yang terdiri daripada kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Alhamdulillah, ibadah korban yang dilaksanakan pada tahun ini menyaksikan sebanyak empat (4) ekor kerbau dikorbankan. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat bagi memohon keberkatan serta kesejahteraan buat semua hadirin.

Turut hadir memeriahkan lagi majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak; Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Kementerian Pembangunan, Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub; Timbalan Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Awang Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar; Pengarah Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Dayang Hajah Martinah binti Haji Tamit, selaku pengerusi majlis; ketua-ketua jabatan, divisyen, unit serta pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Majlis ibadah korban ini merupakan aktiviti keagamaan tahunan Kementerian Pembangunan, yang mencerminkan komitmen berterusan pihak Kementerian dalam menyemarakkan syiar Islam, sekali gus memperkukuh jalinan ukhuwah dan kebajikan warga Kementerian bersama golongan yang berhak.