Kementerian Pembangunan hari ini telah mengadakan Sesi Dialog dan Lawatan Kerja bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bertempat di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan. Sesi tersebut telah dipengerusikan oleh Yang Mulia Timbalan Menteri Pembangunan dan melibatkan penyertaan Ahli-Ahli Yang Berhormat Majlis Mesyuarat Negara, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, serta pegawai pegawai kanan Kementerian Pembangunan.

Sesi dialog dan lawatan kerja ini merupakan wadah perbincangan dan penglibatan strategik antara Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Kementerian Pembangunan dalam membincangkan isu-isu berkaitan pembangunan negara serta perkara-perkara yang menjadi perhatian rakyat. Melalui sesi ini, kedua-dua pihak berpeluang bertukar pandangan, berkongsi maklumat mengenai perkembangan semasa dan cabaran pelaksanaan, serta meneliti cadangan-cadangan yang dapat menyokong penambahbaikan dasar, program dan penyampaian perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan Negara Brunei Darussalam.

Dalam ucapannya, Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, selaku tetamu kehormat, menekankan bahawa sesi dialog dan lawatan kerja ini merupakan platform penting untuk memperkukuhkan kerjasama antara Kementerian Pembangunan dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara dalam menangani isu-isu berkaitan pembangunan negara.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas pandangan dan cadangan konstruktif yang telah dikemukakan, yang disifatkan sebagai input berharga dalam menambah baik dasar, program dan penyampaian perkhidmatan, khususnya dalam bidang perumahan, perancangan guna tanah dan infrastruktur.

Tetamu kehormat juga menegaskan komitmen berterusan Kementerian untuk memastikan setiap inisiatif dilaksanakan secara mampan dan berimpak tinggi kepada kesejahteraan rakyat, selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035, di samping mengharapkan kerjasama erat semua pihak akan terus diperkukuhkan pada masa hadapan.

Pada tahun ini, sesi tersebut memberikan tumpuan khusus kepada Jabatan Tanah, Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) serta Jabatan Kemajuan Perumahan (JKP) memandangkan peranan strategik ketiga-tiga jabatan tersebut dalam menyokong pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat, khususnya dalam aspek pentadbiran tanah, perancangan guna tanah yang mampan serta penyediaan perumahan yang berkualiti dan memenuhi keperluan masyarakat.

Semasa sesi taklimat, Jabatan Tanah telah membentangkan peranan dan fungsi utamanya dalam pentadbiran serta pengurusan tanah negara, termasuk pengurusan hak milik dan urus niaga tanah, pelupusan tanah Kerajaan, kutipan hasil tanah serta penguatkuasaan perundangan berkaitan tanah. Jabatan turut mengongsikan pencapaian dan inisiatif yang telah dilaksanakan bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, antaranya pengemaskinian proses permohonan tanah, pengintegrasian sistem bersama agensi berkepentingan, penubuhan talian hotline WhatsApp serta usaha meningkatkan kesedaran awam mengenai hal ehwal tanah.

Selain itu, Jabatan Tanah turut menerangkan cabaran semasa yang dihadapi, termasuk peningkatan jumlah permohonan, keperluan transformasi digital dan isu pendudukan tanah Kerajaan tanpa kebenaran, serta menggariskan beberapa perancangan strategik yang sedang dan akan dilaksanakan bagi memperkukuhkan sistem pengurusan tanah yang lebih cekap, telus dan responsif kepada keperluan rakyat.

Jabatan Perancang Bandar dan Desa pula telah membentangkan perkembangan terkini mengenai pelaksanaan fungsi perancangan guna tanah dan pengurusan kemajuan fizikal di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa (Penggal 248). Turut dikongsikan ialah pencapaian jabatan dalam penyediaan dan pengemaskinian skim perancangan di beberapa kawasan strategik negara termasuk Menglait, Jaya Setia, Batu Bersurat, Kiulap, Pantai Jerudong, Sungai Teraban, Pulau Berambang, Ujong Jalan, Kampung Lumapas dan Pekan Seria.

JPBD turut mengongsikan statistik permohonan tapak yang telah diluluskan oleh Komiti Pengenalpastian Tapak bagi tempoh 2023 hingga 2025, yang menunjukkan peningkatan pembangunan dalam sektor perumahan, komersial, industri serta infrastruktur dan utiliti.

Selain itu, jabatan tersebut juga membentangkan pelbagai usaha penambahbaikan yang telah dilaksanakan termasuk pengemaskinian Garispanduan dan Piawaian Perancangan, pendigitalan proses permohonan melalui sistem e-Kebenaran Perancangan (eKP) serta pelaksanaan inisiatif Fast Track bagi mempercepatkan proses pertimbangan permohonan pembangunan.

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Perumahan telah membentangkan perkembangan, pencapaian serta hala tuju Jabatan khususnya Skim Perumahan Negara termasuk usaha berterusan JKP dalam menyediakan perumahan yang selamat, berkualiti dan mampu milik, di samping memaparkan kemajuan signifikan termasuk peningkatan kadar pemilikan rumah serta perancangan projek-projek baharu di bawah Rancangan Kemajuan Negara.

Turut dibentangkan ialah dasar-dasar baharu dan pendekatan mampan seperti pembangunan perumahan berkepadatan tinggi, pengoptimuman penggunaan tanah, serta inisiatif meningkatkan keupayaan pemohon.

Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara turut diberikan peluang untuk mengemukakan pandangan, cadangan dan pertanyaan berkaitan isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat di kawasan masing-masing.

Perbincangan yang berlangsung secara terbuka dan konstruktif telah membantu memperkukuhkan kefahaman mengenai cabaran semasa serta mengenal pasti langkah-langkah yang boleh diambil bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai.

Kementerian Pembangunan merakamkan penghargaan kepada Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara atas kerjasama, sokongan dan pandangan yang diberikan. Kementerian akan terus komited untuk memperkukuhkan tadbir urus, meningkatkan kualiti perkhidmatan serta memastikan pembangunan negara dilaksanakan secara mampan, inklusif dan berdaya tahan selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035.