Seminar Ilmu Falak dan Astronomi yang berlangsung di Dewan Mawaddah, Setia Point Co., Daerah Brunei dan Muara telah menghimpunkan pakar-pakar terkemuka dari Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia dalam bidang astronomi, kajian cakerawala serta penentuan waktu solat. Acara ini menjadi wadah dinamik bagi para sarjana, pengamal dan pencinta ilmu untuk bertukar pengetahuan, berkongsi penemuan serta menyemarakkan perkembangan intelektual.
Seminar ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan, Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, selaku Tetamu Kehormat.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap, Ketua-Ketua Jabatan di bawah Kementerian Pembangunan, pegawai-pegawai serta kakitangan daripada agensi kerajaan dan swasta, institusi pendidikan, dan peserta-peserta seminar.
Ucapan utama telah disampaikan oleh Dr. Baharrudin bin Zainal, bekas Profesor di Universiti Sultan Zainal Abidin, Malaysia, bertajuk “Ilmu Falak Sebagai Mekanisme Sains, Sosial dan Agama”, memberikan sorotan menyeluruh bahawa Ulul-albab perlu memanfaatkan sumber alam dalam ilmu falak untuk membentuk konsep dan aplikasi yang mendidik manusia mengenali Pencipta, memudahkan ibadat, serta mengangkat martabat insan.
Sepanjang seminar, sembilan kertas kerja telah dibentangkan oleh pakar-pakar jemputan, antaranya:
- Evolusi Perkembangan Ilmu Falak dan Astronomi di Negara Brunei Darussalam oleh Haji Khairul Abidin bin Haji Sulaiman, Pemangku Juruukur Kanan, Jabatan Ukur, menghuraikan kemajuan negara dalam bidang Falak melalui teknologi moden;
- Menyingkap Langit Dari Balai Cerap Persendirian oleh Shahrin bin Ahmad, Konsultan Astronomi Malaysia, berkongsi pengalaman unik balai cerap persendirian yang menunjukkan bagaimana sains rakyat menyumbang kepada penyelidikan global;
- Astronomi Islam di Indonesia: Tradisi dan Inovasi oleh Prof. Dr. Susiknan Azhari, Professor di Universiti Sunan Kalijaga Yogyakarta, membentangkan perjalanan transformasi astronomi Islam di Indonesia;
- Kalendar: Kaitannya dengan Astronomi oleh Haji Julaihi bin Haji Lamat, Bekas Juruukur di Jabatan Ukur, mengupas hubungan sejarah antara astronomi dan sistem kalendar;
- Ilmu Falak Dalam Skop Besar Astronomi oleh Dr. Baharrudin bin Zainal, bekas Profesor di Universiti Sultan Zainal Abidin, Malaysia, menelusuri evolusi astronomi dari asal-usul Yunani hingga ke astrofizik moden;
- Ilmu Falak Sebagai Instrumen Da’wah: Penyediaan Taqwim Hijri dan Pemeliharaan Maqasid Syariah oleh Muhammad Syahirul Syafiq bin Rashid, Penolong Pegawai Agama di Kementerian Hal Ehwal Ugama, menekankan Falak sebagai alat dakwah dan pemeliharaan maqasid syariah;
- Kalendar Hijriyyah Islam Mandiri Berbasis Kriteria 29: Tinjauan Sejarah dan Astronomis oleh Hendro Setiyanto, Astronomis di Balai Cerap Imahnoong, Indonesia, mengusulkan kalendar Hijriyyah mandiri yang berasaskan ketepatan astronomi;
- Nilai-nilai di Malam Hari oleh Muhammad Zulhilmi bin Mohd Jefri, Imam Tingkat III di Daerah Belait, merenung nilai-nilai kerohanian pada waktu malam;
- Pengalaman Pencerapan Hilal di Negara Brunei Darussalam oleh Haji Sahrin bin Haji Kadih, Hakim Mahkamah Syariah Rendah, berkongsi peranan kehakiman beliau dalam pemerhatian Hilal, menekankan komitmen Brunei terhadap piawaian astronomi serantau.

Seminar ini menutup tirai siri astronomi Brunei MYCE 2026 yang dianjurkan oleh Jabatan Ukur, meninggalkan impak mendalam kepada para peserta serta mengukuhkan komitmen Negara Brunei Darussalam dalam memajukan penerokaan saintifik dan perkembangan intelektual.
Foto: Jabatan Ukur.