Mesyuarat Ke-27 Jawatankuasa Pandu Peringkat Menteri-Menteri Sub- Serantau (MSC Ke-27) Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan telah diadakan pada 9 Julai 2026 di Bali, Indonesia. Mesyuarat tersebut dihadiri oleh Menteri-menteri, pegawai-pegawai kanan dan/atau wakil-wakil bagi hal ehwal tanah, kebakaran hutan dan jerebu dari Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura, dan Thailand, serta Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti Sosio-Budaya ASEAN, dan di Pengerusikan oleh Yang Berbahagia Mohammad Jumhur Hidayat, Menteri Lingkungan Hidup Indonesia. Mesyuarat Kedua Puluh Tujuh Kumpulan Kerja Teknikal (TWG Ke-27) Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan telah diadakan sebelum Mesyuarat ini pada 8 Julai 2026.
Delegasi Negara Brunei Darussalam telah diketuai oleh Dr. Nor Imtihan binti Haji Abd Razak, Timbalan Menteri, Kementerian Pembangunan dan disertai oleh pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan.

Mesyuarat mengesahkan semula komitmen mereka terhadap pelaksanaan penuh dan berkesan terhadap Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP) dan Pelan Strategik Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC) untuk Visi Komuniti ASEAN 2045 yang mana ia telah dimandatkan untuk mempertingkatkan pelaksanaan perjanjian serantau, seperti AATHP, serta memperkukuh keupayaan Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan, demi mencapai komuniti mampan yang memajukan agenda kemampanan ASEAN selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan dan agenda pembangunan global pasca-2030.
Mesyuarat merakamkan penghargaan kepada Indonesia atas usaha berterusan dalam menyediakan penubuhan dan pengoperasian Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (ACC THPC), termasuk kemajuan dalam pengaturan undang-undang dan prosedur serta dokumen operasi utama, infrastruktur dan kemudahan, keupayaan teknologi dan pemantauan, struktur organisasi, dan sokongan kewangan, serta merakamkan penghargaan kepada Viet Nam atas Instrumen Kelulusan (Instrument of Approval) bagi Perjanjian Penubuhan ACC THPC. Mesyuarat juga mengambil maklum tentang proses ratifikasi domestik yang sedang dijalankan oleh negara-negara MSC dan menegaskan kepentingan penyerahan dokumen ratifikasi, penerimaan, kelulusan, atau penyertaan tepat pada masanya oleh Negara Anggota ASEAN yang diperlukan bagi penguatkuasaannya demi memastikan pengoperasian penuh pusat tersebut.
Mesyuarat mengalu-alukan Pelan Pelaksanaan Rangka Kerja Pelaburan ASEAN untuk Pengurusan Tanah Mampan Bebas Jerebu (Implementation Plan of the ASEAN Investment Framework for Haze-Free Sustainable Land Management, AIF- HFSLM) sebagai pelengkap dan sokongan kepada pelaksanaan Pelan Hala Tuju Bebas Jerebu (Haze-Free Roadmap) dan Strategi Pengurusan Tanah Gambut ASEAN Kedua (APMS) 2023-2030 (Second ASEAN Peatland Management Strategy (APMS) 2023-2030). Mesyuarat turut menggalakkan pengukuhan kerjasama dengan Rakan Dialog sedia ada, serta meneroka kerjasama baharu, bagi menangani punca utama dan faktor penyumbang kebakaran dan jerebu, melalui pengurusan hutan dan tanah gambut yang mampan, serta amalan pertanian dan sektor komoditi bebas jerebu, ke arah merealisasikan visi kita demi mencapai ASEAN Bebas Jerebu Rentas Sempadan menjelang 2030.
Mesyuarat mengambil maklum mengenai maklumat cuaca dan asap jerebu Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASEAN Specialised Meteorological Centre, ASMC), serta tinjauan bagi rantau selatan ASEAN. Jumlah keseluruhan bilangan titik panas di rantau selatan ASEAN bagi separuh pertama tahun 2026 meningkat kira-kira 86 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2025. Peningkatan ini sebahagiannya berpunca daripada keadaan cuaca yang lebih kering daripada biasa di kebanyakan kawasan rantau ini sepanjang bulan Januari, Mac dan April 2026. ASMC turut melaporkan bahawa keadaan El Niño dijangka berterusan sepanjang separuh kedua tahun 2026 dan berkemungkinan menjadi lebih kuat bermula Ogos hingga September 2026. Indian Ocean Dipole (IOD) positif pula diramal akan berkembang pada antara bulan Julai hingga Ogos 2026. Berdasarkan tinjauan iklim terkini, taburan hujan yang lebih rendah daripada biasa dijangka berlaku di kebanyakan kawasan di rantau selatan ASEAN dalam bulan-bulan mendatang. Keadaan ini berpotensi meningkatkan bilangan titik panas dan asap jerebu, sekali gus meningkatkan risiko berlakunya asap jerebu rentas sempadan di bawah pengaruh tiupan angin sedia ada dari arah tenggara atau barat daya. Situasi tersebut dijangka akan bertambah serius sekiranya El Niño yang kuat berkembang, yang akan meningkatkan kemungkinan berlakunya tempoh keadaan kering berpanjangan yang lebih lama. Mesyuarat mengalu-alukan usaha berterusan ASMC untuk menambah baik produk dan perkhidmatannya dalam pemodelan penyebaran jerebu, pembangunan produk pemetaan kawasan terbakar dan penambahbaikan pemantauan ENSO, serta program pembangunan kapasiti di peringkat serantau.
Mesyuarat turut mengiktiraf usaha berterusan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dalam memperkukuh keupayaan operasi Sistem Penarafan Bahaya Kebakaran Asia Tenggara (Southeast Asia Fire Danger Rating System, FDRS). Mesyuarat mengambil maklum penilaian MET Malaysia bahawa Indeks Cuaca Kebakaran (Fire Weather Indeces, FWI) berada pada tahap rendah sepanjang tempoh Julai hingga Disember 2025, yang telah menyumbang kepada penurunan aktiviti titik panas berbanding tahun 2024 di rantau selatan ASEAN. Mesyuarat turut mengambil maklum mengenai pemasangan dua (2) Stesen Cuaca Bantu Automatik (Automated Auxiliary Weather Stations, AAWS) di kawasan hutan simpan tanah gambut di Semenanjung Malaysia bagi meningkatkan keupayaan pengesanan awal risiko kebakaran. Di samping itu, Mesyuarat mengalu-alukan pelancaran Model Kualiti Udara Komnunit Malaysia (Malaysian Community Air Quality Model, MyCMAQ) pada bulan Mac 2026 sebagai sistem ramalan kualiti udara operasi masa nyata yang menyediakan ramalan berkala beresolusi tinggi terhadap pencemar atmosfera di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.
Berikutan laporan mengenai permulaan keadaan El Niño pada Jun 2026 dan ramalan MET Malaysia terhadap cuaca panas dan kering yang lebih mencabar disebabkan oleh fenomena El Niño, Mesyuarat menegaskan semula komitmennya untuk mengambil tindakan yang diselaraskan bersama komuniti, perniagaan, masyarakat sivil, rakan dialog, dan agensi kerajaan yang berkaitan bagi memperkukuh usaha pencegahan, kesiapsiagaan, pemadaman, dan mitigasi, serta sokongan yang diperlukan, selaras dengan Pelan Hala Tuju Bebas Jerebu (Haze-Free Roadmap) dan Prosedur Operasi Standard ASEAN bagi Pemantauan, Penilaian, dan Tindak Balas Kecemasan Bersama (ASEAN Standard Operating Procedure for Monitoring, Assessment, and Joint Emergency Response, SOP MAJER).
Mesyuarat bersetuju untuk meneroka dan menilai kebolehlaksanaan bagi menerapkan diplomasi sains dalam rangka kerja AATHP melalui mekanisme sedia ada atau penubuhan platform baharu, mengikut kesesuaian; serta meneliti kebolehlaksanaan untuk mempertingkatkan Dana Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan ASEAN dengan mempelbagaikan sumbangan daripada pihak berkepentingan lain yang berkaitan dan memperluas penggunaannya bagi penyelidikan saintifik serta inisiatif diplomasi sains, dengan didukung oleh rangka kerja tadbir urus yang telus dan bertanggungjawab.
Mesyuarat menantikan penganjuran Mesyuarat Ke-21 Jawatankuasa di bawah Persidangan Pihak-Pihak kepada Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (COM-21) dan Mesyuarat Ke-21 Persidangan Ahli-Ahli Parti kepada Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (COP-21) yang dijadualkan secara tentatif pada Oktober 2026 di Da Nang, Viet Nam.

Mesyuarat merakankan penghargaan kepada Kerajaan Indonesia atas kesudian mejadi tuan rumah bagi Mesyuarat MSC ke-27 dan mengambil maklum mengenai Mesyuarat MSC ke-28 yang akan diadakan di Malaysia pada tahun 2027.