Kementerian Pembangunan selaku Urusetia Jawatankuasa Induk Isu-Isu Kebersihan, hari ini telah mengadakan Sesi Dialog Bersama Belia Mengenai Isu Kebersihan di Negara Brunei Darussalam bertempat di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, Awang Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar.

Sesi dialog berkenaan diadakan sebagai wadah untuk melibatkan golongan belia dalam membincangkan isu-isu berkaitan kebersihan serta memberikan ruang bagi perkongsian pandangan, idea dan cadangan ke arah memupuk sikap bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan persekitaran.
Lebih kurang 280 peserta telah menyertai sesi dialog berkenaan, yang terdiri daripada penuntut-penuntut institusi pengajian tinggi serta golongan belia. Penyertaan ini mencerminkan kepentingan penglibatan golongan belia sebagai rakan strategik dalam sama- sama menyumbang idea dan memainkan peranan aktif dalam menangani isu kebersihan di Negara Brunei Darussalam.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan penyampaian sijil penghargaan kepada para pembentang dan sesi bergambar ramai.
Program diteruskan dengan sesi perkongsian ringkas daripada kumpulan-kumpulan petindak sebelum berlangsungnya sesi dialog yang mengetengahkan tiga tajuk utama, iaitu “Why Do We Still Litter?”, yang disampaikan oleh Awang Mohammad Hazim bin Awang Mokti; “Contingency Plan If the Services Are Inaccessible”, yang disampaikan oleh Dayang Nurul Wafa binti Haji Ismail; dan “How to Cultivate Clean Habits?”, yang disampaikan oleh Dayangku Nur Farahiyah @ Dayangku Batrisyia binti Pengiran Haji Abdul Rahman.
Melalui sesi dialog tersebut, para peserta berpeluang bertukar-tukar pandangan mengenai cabaran berkaitan kebersihan, peranan masyarakat dalam menangani isu pembuangan sampah serta kepentingan membudayakan amalan kebersihan dalam kehidupan seharian.
Penglibatan golongan belia dalam perbincangan seumpama ini adalah penting dalam usaha meningkatkan kesedaran serta menggalakkan rasa tanggungjawab bersama terhadap kebersihan dan kelestarian alam sekitar.
Di samping sesi dialog, program berkenaan turut dimeriahkan dengan penyertaan vendor- vendor tempatan yang dikendalikan oleh golongan belia. Aktiviti sampingan ini diadakan sebagai salah satu usaha untuk memberikan ruang dan sokongan kepada komuniti belia tempatan, khususnya dalam mengetengahkan produk dan perniagaan mereka, di samping mewujudkan suasana program yang lebih santai dan interaktif dalam kalangan peserta.
Penganjuran sesi dialog ini juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Pembangunan melalui Brunei Bersih dalam menggalakkan penglibatan seluruh lapisan masyarakat, khususnya golongan belia, untuk sama-sama memainkan peranan dalam mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, selesa dan lestari di Negara Brunei Darussalam.