Kementerian Pembangunan hari ini menerima lawatan akademik daripada delegasi tiga universiti dari Malaysia dan Indonesia, iaitu Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universitas Tanjungpura (UNTAN).

Delegasi seramai 23 orang tersebut terdiri daripada dua orang pensyarah, dua orang pelajar lepasan ijazah, dan lapan orang pelajar ijazah pertama daripada Program Perancangan dan Pengurusan Pembangunan, UNIMAS; dua orang pensyarah dan empat orang pelajar lepasan ijazah daripada UMS, serta lima orang pensyarah daripada UNTAN.

Hadir mengalu-alukan kedatangan delegasi tersebut ialah Pemangku Pengarah Pentadbiran dan Kewangan, Kementerian Pembangunan, Awang Eliazar bin Sabtu.

Pengisian lawatan tersebut merangkumi sesi perkongsian dan perbincangan bersama pegawai-pegawai daripada Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Jabatan Tanah, dan Jabatan Kemajuan Perumahan. Sesi tersebut memberikan peluang kepada delegasi untuk memahami dengan lebih mendalam akan amalan perancangan pembangunan bandar dan desa serta pentadbiran tanah di Negara Brunei Darussalam.

Lawatan ini merupakan sebahagian daripada program mobiliti akademik antarabangsa universiti berkenaan ke Negara Brunei Darussalam, yang bertujuan untuk memperluas pengetahuan dan pendedahan para peserta melalui perkongsian ilmu serta pengalaman.