Kementerian Pembangunan telah mengadakan Bengkel Transformasi Digital MOD selama dua hari di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan.

Hadir pada bengkel berkenaan ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, Yang Mulia Dr. Chin Wei Keh.

Bengkel tersebut diadakan bagi memperkukuh hala tuju transformasi digital Kementerian Pembangunan bagi tempoh 2026 hingga 2030, dengan memberi tumpuan kepada keutamaan perkhidmatan, keperluan data, inter-operabiliti sistem serta inisiatif digital yang dapat menyokong penyampaian perkhidmatan yang lebih bersepadu, cekap dan berorientasikan pengguna.

Pada hari pertama, bengkel melibatkan Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Divisyen serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Pembangunan. Perbincangan memberi fokus kepada penyelarasan hala tuju strategik, hasil yang ingin dicapai serta mengenal pasti inisiatif digital berkeutamaan yang berpotensi meningkatkan penyampaian perkhidmatan Kementerian.

Hari pertama

Bengkel diteruskan pada hari kedua dengan penglibatan pihak-pihak berkepentingan luar, termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, wakil Persatuan Ukur Jurutera dan Arkitek (PUJA), serta syarikat-syarikat yang berurusan secara langsung dengan Kementerian Pembangunan.

Penglibatan pihak-pihak berkepentingan ini memberi ruang untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada perspektif pengguna dan industri, khususnya mengenai pengalaman berurusan dengan perkhidmatan Kementerian, peluang penambahbaikan proses serta keperluan integrasi antara agensi dan pihak industri.

Hari kedua

Antara pengisian sepanjang bengkel ialah pembentangan hala tuju transformasi digital MOD, sesi perbincangan kumpulan mengenai hasil strategik dan inisiatif digital yang perlu diberi keutamaan, pembentangan hasil perbincangan serta sesi soal jawab.

Maklum balas, pandangan dan cadangan yang diperolehi sepanjang bengkel akan menjadi antara asas penting dalam memperkukuh perancangan dan pelaksanaan transformasi digital Kementerian Pembangunan bagi tempoh 2026 hingga 2030, ke arah penyampaian perkhidmatan yang lebih mudah, lancar dan bersepadu, penggunaan data yang lebih dipercayai serta hasil pembangunan yang lebih baik.

Bengkel ini turut menekankan kepentingan kerjasama berterusan antara Kementerian, jabatan-jabatan berkaitan, agensi teknikal, pihak industri serta pengguna dalam membentuk ekosistem perkhidmatan pembangunan yang lebih saling berhubung dan responsif terhadap keperluan semasa.