Seramai lebih kurang 80 profesional menghadiri Sesi Muzakarah bersama Premium Profesional yang anjuran Lembaga Arkitek, Jurutera Profesional dan Juruukur Bahan (BAPEQS) di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan, bagi meneroka impak kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) terhadap amalan profesional dalam sektor persekitaran binaan di Negara Brunei Darussalam.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, Dr. Chin Wei Keh, selaku Pengerusi Lembaga BAPEQS.
Sesi muzakarah bertajuk “Exploring the Impact of Artificial Intelligence (AI) on Architectural, Engineering and Quantity Surveying Practices in Brunei Darussalam” ini menyediakan ruang perkongsian pengalaman dan pertukaran pandangan antara ahli Lembaga BAPEQS, pengamal profesional industri serta wakil jabatan Kerajaan yang berkaitan.
Penganjuran sesi ini bertujuan meningkatkan kefahaman mengenai aplikasi praktikal AI, termasuk AI generatif, automasi dan analitik data, kecekapan reka bentuk, operasi dan penyelenggaraan bangunan dalam penyampaian perkhidmatan. Sesi ini juga memberi tumpuan kepada pemindahan ilmu antara sektor awam dan swasta bagi menyokong penyesuaian terhadap perkembangan teknologi serta memperkukuh amalan profesional.
Dalam ucapan alu-aluan, Ir. Dayangku Roselawati binti Pengiran Haji Halus, selaku Pengerusi Jawatankuasa Socialization and Publicity, BAPEQS; menekankan bahawa AI merupakan alat untuk membantu para profesional, dan bukannya menggantikan pertimbangan serta tanggungjawab profesional mereka. Turut ditekankan ialah keperluan untuk memastikan maklumat yang dijana oleh AI adalah tepat, boleh dipercayai dan digunakan secara bertanggungjawab.
Pengerusi Jawatankuasa turut menyeru para profesional untuk terus meningkatkan pengetahuan, mengembangkan kemahiran baharu dan menyesuaikan diri dengan perubahan dalam industri, di samping sentiasa menjunjung standard profesional, integriti dan akauntabiliti.
Tiga penyampai ucap utama dijemput untuk berkongsi perspektif daripada bidang masing- masing, iaitu Ar. Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abd Rahman, Partner and Principal Architect, Eco Bumi and Partners Sdn Bhd; Ir. Chin Lee Tuck, Director, Jurutera OMC; dan Sr. Haji Mohammad Shafie bin Haji Mohd Yusof, Managing Director, Utamacon (B) Sdn Bhd.
Pengisian turut merangkumi sesi perkongsian oleh Arkitek-Arkitek dan Jurutera-Jurutera daripada Jabatan Perkhidmatan Teknikal; dan Jabatan Saliran dan Pembetungan, Jabatan Kerja Raya mengenai integrasi AI dan infrastruktur awam. Sesi soal jawab pula memberi peluang kepada para profesional untuk bertukar pandangan mengenai potensi penggunaan AI serta keperluan penyesuaiannya dalam konteks amalan profesional di negara ini.
Sesi tersebut diakhiri dengan penyampaian cenderahati dan sijil penghargaan oleh Tetamu Kehormat kepada ketiga-tiga penyampai ucap utama serta wakil dan penyampai-penyampai daripada Jabatan Kerja Raya.
Melalui sesi muzakarah ini, BAPEQS berhasrat memperkukuh hubungan dan perkongsian pengetahuan antara pihak kerajaan dengan pengamal industri, di samping menggalakkan penerokaan teknologi yang dapat menyokong peningkatan mutu perkhidmatan dan profesionalisme dalam bidang arkitek, kejuruteraan dan ukur bahan. Walau bagaimanapun, tanggungjawab profesional dan undang-undang kekal di bawah pihak profesional yang berkaitan.
Turut hadir di sesi muzakarah tersebut ialah ahli-ahli Lembaga BAPEQS, Pengarah-Pengarah Jabatan di bawah Jabatan Kerja Raya, Pengerusi dan ahli-ahli Majlis Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA) Brunei, Penjalan Amalan Arkitek, Jurutera Profesional dan Juruukur Bahan.
