Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan, telah menganjurkan Acara Penanaman Pokok dan Pembersihan Pantai “Coastal Marvel” bersempena dengan Sambutan Hari Alam Sekitar 2026 pada hari Sabtu, 6 Jun 2026 di Taman Rekreasi Pantai Seri Kenangan, Tutong.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

Acara didahului dengan bacaan surah Al-Fatihah dan doa selamat, dan diikuti dengan taklimat keselamatan.

Sebanyak 36 batang pokok Casuarina Equisetifolia telah ditanam. Sementara itu, sejumlah 95.9 kilogram sisa sampah telah dikutip oleh lebih daripada 100 peserta, di mana sebanyak 63.9 kilogram daripadanya adalah sisa plastik.

Turut hadir semasa kempen tersebut ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak; Ahli Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan; Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Kementerian Pembangunan, Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohammad Yaakub; Timbalan Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Awang Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar; ketua-ketua jabatan, divisyen, unit serta pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya; Jabatan Daerah Tutong, Jabatan Perhutanan, Pejabat Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam, penghulu, ketua-ketua kampong serta penduduk-penduduk Mukim Pekan Tutong. 

Pada 5 Jun setiap tahun, masyarakat global termasuk Negara Brunei Darussalam akan menyambut Hari Alam Sekitar Sedunia yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan penglibatan semua lapisan masyarakat dalam memelihara alam sekitar. Dengan tema “Tindakan Iklim” (Climate Action), Sambutan Hari Alam Sekitar pada tahun ini adalah sebagai tanda peringatan bahawa setiap orang memainkan peranan yang penting dalam melindungi masa depan alam sekitar kita. 

Maklumat lanjut mengenai kempen ini turut dikongsikan di laman Instagram rasmi Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi: @jastre.bn.