Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan, dengan sokongan Kumpulan Isteri Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli Bersekutu, telah menganjurkan Acara Penanaman Pokok dan Pembersihan Pantai “Coastal Marvel” bersempena dengan Sambutan Hari Bumi 2026 pada hari Rabu, 22 April 2026 di Taman Rekreasi Pantai Muara.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

Foto: Jabatan Penerangan
Acara didahului dengan bacaan surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, dan diikuti dengan taklimat keselamatan. Acara kemudiannya diteruskan dengan sesi pemanasan badan dan briskwalk sebelum memulakan aktiviti penanaman pokok dan kempen kebersihan “Coastal Marvel” di sepanjang persisiran pantai.
Turut hadir semasa kempen tersebut ialah wakil-wakil daripada Kumpulan Isteri Menteri-Menteri Kabinet, Timbalan-Timbalan Menteri, Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap dan Ahli Bersekutu, Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, ketua-ketua jabatan, divisyen, unit serta pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.


Sebanyak 40 pohon pokok telah ditanam iaitu 26 pohon pokok Ketapang dan 14 pohon pokok Khaya, Sementara itu, sejumlah 230.4 kilogram sisa sampah telah dikutip oleh lebih daripada 100 orang peserta, di mana sebanyak 130.3 kilogram daripadanya adalah sisa plastik.

Pada 22 April setiap tahun, masyarakat global termasuk Negara Brunei Darussalam akan menyambut Hari Bumi yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan penglibatan semua lapisan masyarakat dalam memelihara alam sekitar. Dengan tema “Our Power, Our Planet”, Sambutan Hari Bumi pada tahun ini memfokuskan kepada peranan kolektif orang ramai, komuniti-komuniti dan organisasi-organisasi dalam sama-sama mengekalkan usaha-usaha menjaga dan melindungi alam sekitar.
Maklumat lanjut mengenai kempen ini turut dikongsikan di laman Instagram rasmi Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi: @jastre.bn.