gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, pagi ini berkenan berangkat ke Majlis Forum Perdana Majlis Ilmu 2025 sempena Sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-79 Tahun, yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah.

Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Penasihat Bersama Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2025 iaitu Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris bin Pengiran Maharaja Lela Pengiran Muda Abdul Kahar; Pengerusi-Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pandu Majlis Ilmu 2025 iaitu Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Dayang Hajah Romaizah binti Haji Mohd. Salleh; Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad; dan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar dan Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Zetty Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani.

Acara Forum Perdana Majlis Ilmu 2025 dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.

Sejurus itu, majlis diteruskan dengan sembah alu-aluan yang disampaikan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Forum Perdana Majlis Ilmu 2025.

Forum Perdana ini mengupas sedikit demi sedikit mengenai tajuk Tema Majlis Ilmu tahun 2025 iaitu ‘Negara Ditanai dengan Sedekah’. Forum juga menyentuh mengenai amalan sedekah atau kebajikan di Negara Brunei Darussalam yang dilaksanakan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dari segi bantuan rakyat, kemudahan pendidikan, kesihatan dan kemasyarakatan. Selain itu, perisian forum juga menjelaskan bagaimana sedekah dapat mengukuhkan perpaduan masyarakat di Negara Brunei Darussalam.

Forum berkenaan telah dibentangkan oleh tiga ahli panel yang terdiri dari Penolong Mufti (Buhuth), Jabatan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mazanan bin Haji Yusof; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Shamshol bin Haji Omar; dan Penolong Rektor (Penyelidikan dan Antarabangsa), Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dr. Awang Haji Hambali bin haji Awang Jaili.

Hadir selaku moderator forum ialah Penolong Pensyarah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Haji Muhammad Khairul Azhar bin Idris.

Duli Yang Teramat Mulia juga telah berkenan berangkat untuk menyaksikan Pameran Majlis Ilmu 2025.

Forum Perdana sempena Majlis Ilmu 2025 ini diungkayahkan bersama oleh Kementerian Pembangunan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama di bawah Jawatankuasa Kerja Forum Perdana Majlis Ilmu 2025.​

Bagi maklumat mengenai acara-acara dan aktiviti-aktiviti yang akan diadakan sempena Majlis Ilmu 2025, orang ramai boleh mengikuti laman sesawang www.majlisilmu.gov.bn.