Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Unit Urus Setia Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam telah mengambil inisiatif melaksanakan program Jerayawara Tabung Dana Pembinaan Masjid khusus bagi pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya yang diadakan di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan.
Hadir sama pada jerayawara berkenaan ialah Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Amir Hisham bin Haji Masri dan Pemangku Penolong Pengarah Sumber Manusia, Divisyen Pengurusan Korporat dan Sumber Manusia, Kementerian Pembangunan, Dayang Hajah Syazriah binti Haji Abd. Manap.
Sesi penerangan mengenai Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam disampaikan oleh Pemangku Penolong Pengarah Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Asminan bin Haji Chuchu.

Penerangan tersebut merangkumi latar belakang serta tujuan penubuhan tabung, kaedah dan mekanisme kutipan dana termasuk proses pemotongan gaji, statistik jumlah kutipan, serta perancangan projek yang telah dan akan dilaksanakan.
Sesi turut disusuli dengan soal jawab dan perbincangan bagi memberikan ruang kepada para peserta mendapatkan penjelasan lanjut.

Program tersebut disasarkan khusus kepada para pegawai dan kakitangan kerajaan yang mula berkhidmat sejak tahun 2020 hingga kini, dengan hasrat untuk memperjelaskan matlamat serta objektif penubuhan tabung berkenaan secara menyeluruh dan berkesan.