Beberapa buah jabatan di bawah Kementerian Pembangunan iaitu Jabatan Kerja Raya Cawangan Daerah Tutong, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Jabatan Tanah, Jabatan Saliran dan Pembetungan, dan Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) telah menyertai Program Rehlatul Ukhwah Penerangan yang diadakan di Taman Warisan Tasek Merimbun dengan penglibatan penduduk kampung di Mukim Ukong dan Mukim Rambai.

 Foto: Jabatan Penerangan

Program Rehlatul Ukhuwah Penerangan, yang bermaksud Perjalanan Persaudaraan Penerangan, menggunakan pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation adalah salah satu inisiatif Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri sebagai usaha untuk terus mendekati rakyat dan penduduk di negara ini tidak mengira kawasan bandar mahupun pedalaman.

Program disertai oleh peserta yang mewakili agensi kerajaan selaku rakan strategik Jabatan Penerangan, serta Ahli-ahli Jawatankuasa Perhubungan Awam Kementerian-Kementerian dan Jabatan-Jabatan Kerajaan (JPAKK & JJK) yang telah bekerja rapat dengan Urus Setia JPAKK & JJK dalam pelaksanaan program dan aktiviti perhubungan awam secara strategik melalui pendekatan berkenaan, agar program mempunyai impak nasional.

Foto: Jabatan Penerangan

Semasa program berkenaan, para penduduk di kedua-dua buah mukim berkenaan juga berpeluang berdialog bersama agensi-agensi kerajaan yang antaranya berkaitan dengan prasarana, keselamatan dan kemudahan awam serta hal-hal lain.