Pada menjunjung titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, adalah dengan ini dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah mengurniakan titah perkenan bagi kenaikan pangkat dan pelantikan pegawai-pegawai kanan, seperti berikut:
- Yang Mulia Awang Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar, Timbalan Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional) di Kementerian Pembangunan, dinaikkan pangkat dan dilantik menjadi Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan; dan
- Yang Mulia Dr. Chin Wei Keh, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, dinaikkan pangkat dan dilantik menjadi Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan.
Tarikh kenaikan pangkat dan pelantikan pegawai-pegawai kanan berkenaan berkuatkuasa mulai hari Selasa, 20 Safar 1448 bersamaan 4 Ogos 2026.