Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) bersama Divisyen Pelaburan dan Undang-Undang, Kementerian Pembangunan telah mengadakan Majlis Penyampaian Surat Lantikan Kuasa bagi perlaksanaan Akta Kawalan Bangunan Penggal 256. Majlis berlangsung di Dewan Betabur, Bangunan Kementerian Pembangunan, hari ini.
Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Kementerian Pembangunan, Dayang Aldila binti Haji Mohd Salleh.
Dalam ucapan alu-aluannya, Dayang Aldila binti Haji Mohd Salleh telahpun mengongsikan bahawa pemberian kuasa yang dibolehkan di bawah Akta Kawalan Bangunan melalui Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) ini merupakan langkah demi memperkukuhkan lagi tindakan penguatkuasaan Akta tersebut.
Melalui kuasa yang diberikan ini, pegawai agensi-agensi yang berkenaan kini berupaya melaksanakan tindakan penguatkuasaan di bawah beberapa peruntukan akta termasuk Seksyen 56 (kuasa memasuki premis), Seksyen 66 (memperoleh maklumat), dan Seksyen 71 (pengenaan denda kompaun).
Sejak tahun 2019, ABCi telah memberikan kuasa dan menjalin kerjasama erat dengan Jabatan Bandaran dan Jabatan-Jabatan Daerah. Kerjasama ini diperkukuhkan lagi dengan pemberian kuasa yang lebih luas melalui pemberian kuasa yang sama kepada pegawai dan kakitangan di Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan bagi membolehkan isu-isu kebersihan di bangunan komersial dapat ditangani dengan lebih berkesan dengan perlaksanaan penguatkuasaan Seksyen 57 Akta Kawalan Bangunan.
Seksyen ini mempertanggungjawabkan pemilik dan penghuni bangunan komersial untuk memastikan kebersihan dan keadaan baik bangunan-bangunan, termasuk tandas awam, agar ia sentiasa terjaga. Kegagalan mematuhi notis yang dikeluarkan oleh ABCi boleh dikenakan denda kompaun. Orang ramai turut diseru untuk menggunakan kemudahan awam dengan penuh tanggungjawab demi menjaga imej negara dan kesejahteraan masyarakat.
Selain daripada itu, ABCi juga telahpun memberikan kuasa kepada pegawai dan kakitangan daripada Jabatan Kemajuan Perumahan bagi menangani isu pembangunan tanpa kebenaran dalam kawasan Skim Perumahan Negara; manakala kuasa diberikan kepada pegawai dan kakitangan Jabatan Daerah dan Lembaga Bandaran, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri khususnya bagi menangani pemasangan iklan, papan iklan dan papan tanda tanpa kebenaran.
Majlis diteruskan dengan penyampaian surat-surat lantikan kuasa oleh Tetamu Kehormat kepada pegawai agensi-agensi yang berkenaan. Bagi memberkati majlis, doa selamat dibacakan oleh Awang Farhan Hariz bin Dr. Haji Hisham daripada Kementerian Pembangunan.
Turut hadir di majlis tersebut ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan dan pegawai dan kakitangan yang telah diberi kuasa.