Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat menyempurnakan Penganugerahan Anak-Anak Kunci Rumah di bawah Skim Perumahan Negara bagi Daerah Brunei dan Muara kepada seramai 300 orang penerima. Majlis berkenaan disempurnakan di Dewan Persidangan BRIDEX, Jerudong, Mukim Sengkurong.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan; Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri; dan Yang Mulia Pengiran Md Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim, Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Pengiran Haji Shahril Azman bin Pengiran Haji Metusin, Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Daerah Brunei dan Muara diikuti dengan Sembah Alu-Aluan daripada Yang Mulia Pengiran Md Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim, Pemangku Pegawai Daerah Brunei dan Muara.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menyempurnakan penganugerahan anak-anak kunci rumah di bawah Skim Perumahan Negara bagi Daerah Brunei dan Muara kepada 300 orang dimana kesemuanya telah diperuntukan rumah jenis teres di Perumahan Negara Kampung Lugu.

Bagi memberkati majlis, doa selamat dibacakan oleh Yang Mulia Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Daerah Brunei dan Muara.

Sejurus selesai menyempurnakan majlis penganugerahan berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan berangkat melawat ke Sekolah Rendah Jerudong, Kluster 4, di Kampung Jerudong. Sekolah Rendah Jerudong telah ditubuhkan pada tahun 1955 dengan keramaian 25 orang murid yang mana pada tahun 1957 bangunan kekal bagi Sekolah Rendah Jerudong telah dibina. Pada masa ini Sekolah Rendah Jerudong mempunyai keramaian murid sebanyak 406 orang dengan 60 orang tenaga pengajar serta 11 orang kakitangan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya dijunjung berangkat melawat EVYD Technology Sendiran Berhad di Kampung Jerudong. Syarikat berkenaan menggunakan inovasi teknologi khususnya Artificial Intelligence (AI) bagi meningkatkan mutu dan sistem penjagaan kesihatan. Syarikat tersebut mula beroperasi pada 27 April 2020 dan mempunyai seramai 65 orang tenaga kerja yang mana 53 orang daripadanya adalah anak tempatan.

Selepas lawatan dari syarikat berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berkenan berangkat melawat ke rumah penerima-penerima anak-anak kunci rumah teres di bawah Perumahan Negara Kampung Lugu, iaitu Yang Mulia Awang Roshirmy bin Haji Abu Bakar (Lot 82833, No. 16, Simpang 134, Jalan Ambin Perumahan Negara Kampung Lugu); dan Yang Mulia Dayang Siti Salmiah binti Haji Awang Bini @ Sharbini (Lot 82818, No. 13, Simpang 134, Jalan Ambin Perumahan Negara Kampung Lugu).

Dari rumah penerima-penerima anak-anak kunci rumah teres tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudiannya dijunjung berangkat melawat ke rumah Ketua Kampung Lugu dan Kampung Katimahar, Yang Mulia Awang Abdul Hadi bin Haji Abdul Sani.

Bagi mengakhiri majlis keberangkatan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan dijunjung berangkat ke Dewan Royal Berkshire, Tarindak D’ Polo, Jerudong bagi Majlis Santap Tengahari.

Rakyat Negara Brunei Darussalam adalah amat bertuah dengan kepimpinan bijaksana Kebawah Duli Yang Maha Mulia yang terus menerus memberikan keprihatinan dan pemedulian terhadap kesejahteraan dan kualiti kehidupan rakyat di negara ini. Ianya jelas terbukti dengan adanya penyediaan perumahan yang selesa, mampu milik dan mampan khususnya melalui Skim Perumahan Negara.

Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia menerusi Jabatan Kemajuan Perumahan terus giat melaksanakan pelbagai inisiatif dan daya usaha dalam memastikan rakyat mempunyai tempat kediaman sejajar dengan hasrat Matlamat Kedua Wawasan Brunei 2035, iaitu ke arah kualiti kehidupan yang tinggi.