Majlis Perasmian Pertunjukan Seni Landskap dan Bunga-Bunga Hidup 2026 telah disempurnakan pada hari Sabtu, 29 Ogos 2026 bertempat di Taman Rekreasi Menteri Besar, Berakas.
Acara yang dianjurkan oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan, dengan sokongan Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) Brunei bagi tahun yang kedua, mengetengahkan pelbagai seni landskap kreatif, pertunjukan flora, tanaman hiasan, serta pengalaman yang menarik buat para pengunjung.
Acara telah dirasmikan oleh Tetamu Kehormat Majlis, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan, dan yang turut disertai oleh Yang Mulia Datin Fadzlin binti Hashim.

Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Awang Hifzhuddin bin Lamudin, sebelum diteruskan dengan upacara perasmian pertunjukan. Acara diikuti dengan lawatan ke taman-taman bertema dan pameran khusus mempamerkan teknik pemilihan serta susun atur tanaman mengikut kesesuaian tapak dan konsep reka bentuk.

Bagi memeriahkan lagi edisi tahun ini, beberapa elemen landskap baharu serta sistem pencahayaan landskap telah diperkenalkan bagi menyerikan suasana taman pada waktu malam. Sebahagian daripada landskap yang dibangunkan pada tahun ini juga merupakan landksap kekal.
Turut hadir semasa acara tersebut ialah Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Datin Seri Paduka Dr. Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, Ketua-Ketua Perwakilan Asing ke Negara Brunei Darussalam, Setiausaha-Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan, Ketua-Ketua Jabatan, Divisyen, Unit serta pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Acara ini juga turut disokong oleh Jabatan Perhutanan dan dijayakan oleh rakan-rakan kongsi rasmi, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Muara Port Company Sdn Bhd, KN Nursery (B) Sdn Bhd dan Imagine Sdn. Bhd. selaku rakan telco rasmi bagi acara tersebut.

Orang ramai dijemput hadir berkunjung ke pertunjukan ini bermula pada hari Sabtu, 29 Ogos 2026 hingga hari Ahad, 6 September 2026 dari jam 9:00 pagi hingga 9:00 malam di Taman Rekreasi Menteri Besar. Kemasukan adalah percuma.
Pengunjung berpeluang mendapatkan pelbagai spesies tanaman, produk berkaitan berkebun, dan perkhidmatan landskap daripada vendor hortikultur dan landskap yang terlibat. Pelbagai pilihan gerai makanan dan minuman, food truck dan pop-up café turut disediakan.
Pihak penganjur juga turut mengingatkan orang ramai untuk bersama-sama menyokong gaya hidup yang mampan dengan membudayakan amalan membawa beg guna semula semasa mengunjungi acara tersebut.
Foto: Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi.