Kementerian Pembangunan telah mengadakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad Shallallahu ‘Alaihi Wasallam (S.A.W) bagi Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan. Majlis ini telah dianjurkan oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi.
Hadir selaku Tetamu Kehormat ialah Setiausaha Tetap, Kementerian Pembangunan, Dr. Dayang Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak.
Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan kemudian diteruskan dengan ceramah khas bertajuk “Lahirnya Cahaya, Rahmat Sekalian Alam” yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sallehuddin.
Majlis disemarakkan lagi dengan persembahan Dikir Marhaban yang diketuai oleh Awang Hifzhuddin bin Lamudin dan Awang Muhammad Hafiy bin Noorsam/Noorsyam, diikuti dengan bacaan selawat Tafrijiyyah. Majlis diakhiri dengan Doa Selamat.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh; Timbalan Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Awang Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar; ketua-ketua jabatan, divisyen, unit serta pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Majlis ini diadakan untuk memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. serta menyemarakkan syiar Islam dan memperkukuhkan ukhuwah dalam kalangan warga kementerian.