Negara Brunei Darussalam pada masa ini mengalami keadaan berjerebu. Keadaan ini adalah disebabkan oleh sejumlah titikpanas akibat dari kebakaran hutan dan lahan yang berlaku di kepulauan Borneo, dengan ditiup angin perlahan dari Barat Daya (Southwesterly) menuju ke Negara Brunei Darussalam. Imej satelit yang diterima dari ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) menunjukkan sebanyak 185 titikpanas pada 1 Ogos 2026 dan 371 titikpanas pada 2 Ogos 2026 di Kalimantan.

Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi memaklumkan bahawa Negara Brunei Darussalam pada masa ini berada dalam Monsun Barat Daya, di mana angin pada amnya bertiup dari arah Barat Daya di rantau ini. Berdasarkan ramalan turunan hujan tinjauan bermusim bagi bulan Ogos 2026, jumlah turunan hujan bagi Negara Brunei Darussalam diramalkan Sedikit Bawah Normal, dengan jumlah turunan hujan sekitar 20 peratus hingga 40 peratus di bawah nilai normal bulanan bagi bulan Ogos, iaitu 230 milimeter. Pada masa yang sama, suhu udara maksimum harian dijangka berada dalam lingkungan 34.0 darjah selsius hingga 36.0 darjah selsius.

Bacaan kualiti udara yang dicatatkan di semua stesyen pemantauan kualiti udara PM10 (Bahan Partikulat 10) di keempat-empat daerah bagi Negara Brunei Darussalam adalah tinggi berbanding dengan hari-hari biasa. Kualiti udara bagi Negara Brunei Darussalam keseluruhannya adalah ditahap BAIK ke SEDERHANA.

Bacaan indeks pencemaran PSI yang tertinggi hari ini (Sabtu, 8 Ogos 2026) sejak jam 9:00 pagi hingga jam 4:00 petang, dicatatkan seperti berikut:

DAERAH KUALITI UDARA PSI
Brunei Muara SEDERHANA 52
Belait SEDERHANA 56
Temburong BAIK 39
Tutong BAIK 44

Bacaan PSI kurang daripada 50 adalah bagi keadaan kualiti udara BAIK. Bacaan PSI diantara 50 dan 100 adalah SEDERHANA.

Kementerian Kesihatan ingin menasihatkan orang ramai bahawa pada bacaan PSI sederhana (di antara 50 dan 100), mereka yang tidak mempunyai masalah kesihatan bolehlah melakukan aktiviti luar, manakala bagi kanak-kanak, wanita mengandung, warga tua dan mereka yang menghidap penyakit asma, penyakit paru-paru dan penyakit jantung, atau mempunyai alahan kepada debu adalah dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti fizikal di luar rumah.

Orang ramai yang mengalami gejala seperti batuk berpanjangan atau sesak nafas adalah dinasihatkan untuk berjumpa doktor di Pusat Kesihatan terdekat.

Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi sentiasa terus memantau situasi dari masa kesemasa. Orang ramai akan dimaklumkan mengenai dengan kualiti udara melalui stesyen-stesyen radio RTB, laman sesawang dan Instagram Jabatan.

Orang ramai dinasihatkan untuk segera menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian kecemasan 995 sekiranya berlaku sebarang kejadian kebakaran hutan atau rumput. Dalam masa yang sama, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka atau apa-apa aktiviti lain yang boleh memburukkan keadaan, terutamanya semasa musim kering.

Orang ramai boleh menghubungi Hotline Darussalam 123 bagi sebarang aduan mengenai pembakaran terbuka dan untuk mendapatkan sebarang maklumat dan nasihat kesihatan. Maklumat lanjut mengenai bacaan PSI boleh diperolehi dengan melayari laman sesawang www.env.gov.bn dan Instagram (@jastre.bn) manakala maklumat dan nasihat kesihatan juga boleh diperolehi dengan melayari laman sesawang www.moh.gov.bn atau Instagram rasmi Kementerian Kesihatan.

Maklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui aplikasi mudah alih Brunei WX, atau dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114. Selain itu, orang ramai juga boleh melayari laman sesawang www.met.gov.bn serta mengikuti saluran rasmi kami di Facebook (@bruneiweather), Instagram (@brunei.weather), Telegram dan WhatsApp (Brunei Weather).

Foto: Borneo Bulletin.