gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Dalam menyemarakkan lagi peristiwa Isra’ dan Mi’raj, Kementerian Pembangunan hari ini mengadakan Majlis Isra’ Mi’raj bagi Tahun 1446 Hijrah bertempat di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan Ceramah Khas yang bertajuk ‘Makna di Sebalik Isra’ dan Mi’raj Dalam Kehidupan Seharian’ yang disampaikan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da’wah Islamiah, Yang Mulia Ustaz Haji Awang Muhammad Najib bin Haji Awang.

Ceramah antara lain menekankan mengenai ‘ibrah dan pelajaran serta inspirasi daripada peristiwa Isra’ dan Mi’raj yang dapat diterapkan dalam kehidupan sehari-hari seperti kepentingan untuk bertaubat, sentiasa merasakan syukur dalam diri dan menyedari bahawa rahmat Allah Subhanahu Wata’ala itu sangat luas.

Ceramah juga memperingatkan mengenai perlunya untuk perbanyakkan ibadah pada hari Nisfu Sya’aban serta untuk persiapan diri dalam menghadapi bulan Ramadhan yang akan menjelang tidak lama lagi.

Majlis ini merupakan salah satu aktiviti tahunan keagamaan Kementerian Pembangunan yang bertujuan untuk memperingati dan membesarkan peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Majlis pada tahun ini diselenggarakan oleh Jabatan Tanah.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap, Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap, Pemangku Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Pesuruhjaya-Pesuruhjaya, Pengarah-Pengarah dan Kakitangan daripada Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan dibawahnya.